Pages

Saturday, November 9, 2013

CABARAN



  Cabaran merupakan satu perkara yang tidak dapat tidak harus dilepasi semua orang dalam menjadi insan yang hebat. Bagi diri Allahyarham Tuan Guru Haji Anuar Wahab sendiri, cabaran yang dihadapi tidak lain tidak bukan dari aspek persilatan.

             Melalui maklumat yang saya perolehi daripada responden, saya dimaklumkan bahawa Allahyarham Tuan Guru Haji Anuar Wahab mempunyai sebilangan musuh, baik yang nyata mahu pun diam-diam. Hal ini kerana ada sebilangan yang tidak bersetuju dan tidak sependapat dengan idea beliau untuk mewujudkan Kurikulum Silat yang mana lebih tersusun dan sistematik. Mereka mendakwa permainan silat yang beliau bawa tidak asli. Padahal, hakikatnya Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawaian 2000 atau dikenali sebagai Silat Malaysia merupakan hasil kajian beliau sendiri selama 40 tahun.

              Setelah beliau secara rasmi diangkat menjadi Guru Utama PSGFM, beliau akhirnya merangkakan kurikulum baru PSGFM bagi menghadapi cabaran semasa. Kurikulum baru PSGFM tersebut dapat membuahkan pengajaran dan pembelajaran silat yang setara dan sistematik yang mana masih mengekalkan segala aspek ciri keaslian seni silat Melayu tradisi Semenanjung, bertunjangkan kepada aliran Silat Patani atau Gayung Patani.

            Secara realistik, kurikulum ini merupakan satu anjakan pembaharuan terhadap pengajaran dan pembelajaran silat yang selama ini dipraktikkan secara ‘peturun tangan’ dari guru ke guru silat. Kaedah tradisi tersebut mempunyai beberapa kekurangan dan kelemahan tersendiri, contohnya tiada maklumat pelajaran silat secara bertulis, kekangan sikap dan keperluan serta kelemahan ingatan pewaris tersebut.

            Lantaran itu, setiap kumpulan silat kian menjarak dan mewujudkan identiti sendiri. Maka terdapatlah kumpulan silat yang dikenali sebagai silat tari, silat pulut, silat bunga, silat buah, silat tempur, silat olahraga dan pergendangan silat. Silat bermotif misalnya silat harimau, silat labah-labah hijau dan lain-lain. Justeru, kurikulum silat inilah menyatukan seluruh ilmu silat di bawah paksi yang sama.

            Walaupun beliau terpaksa menghadapi cabaran kerana masih sebilangan yang tidak bersetuju kurikulum silat ini, namun, beliau tetap tekad mewujudkan silat kurikulum demi membangunkan silat yang lebih telus dan setara.

No comments:

Post a Comment