Pages

Saturday, November 9, 2013

LAMPIRAN




Sijil penganugerahan :



Hasil karya beliau :






Beliau menunjukkan beberapa langkah silat gayung fatani.







HASRAT

            Bagi individu yang hebat dan bukan calang-calang orangnya, hasrat yang digantung pada langit hidup akan diiringinya dengan melestarikan hasrat tersebut. Bukanlah sekadar angan-angan Mat Jenin.
Dari perspektif Allahyarham Tuan Haji Anuar Wahab, beliau berhasrat untuk membangunkan silat iaitu silat melayu yakni silat asli tempatan atau seni silat Melayu tradisi Semenanjung Tanah Melayu dari yang serumpun dan yang sebenih dengannya yang dikenali sebagai Silat Pulut atau Gayung Pulut. Dan, sejajar jerih perih yang dilaksanakan beliau juga keizinanNya, hasrat beliau tercapai pada tahun 2002.
Selain itu, beliau ingin memperlihatkan Malaysia mempunyai versi Malaysia bagi mengukuhkan pengiktirafan bahawa SILAT SEBAGAI BELA DIRI RASMI MALAYSIA YANG TERSENARAI DALAM AKTA WARISAN NEGARA. Alhamdulillah, pada tahun 2002 juga, beliau dapat merealisasikan hasrat beliau tersebut.

        Akhir sekali yang dicatatkan, beliau memasang visi “Ke Arah Menjadikan Malaysia sebagai Negara Silat di Dunia”. Impian beliau ini disambung oleh guru Utama II PSGFM, Guru Aminuddin Anuar). 

CABARAN



  Cabaran merupakan satu perkara yang tidak dapat tidak harus dilepasi semua orang dalam menjadi insan yang hebat. Bagi diri Allahyarham Tuan Guru Haji Anuar Wahab sendiri, cabaran yang dihadapi tidak lain tidak bukan dari aspek persilatan.

             Melalui maklumat yang saya perolehi daripada responden, saya dimaklumkan bahawa Allahyarham Tuan Guru Haji Anuar Wahab mempunyai sebilangan musuh, baik yang nyata mahu pun diam-diam. Hal ini kerana ada sebilangan yang tidak bersetuju dan tidak sependapat dengan idea beliau untuk mewujudkan Kurikulum Silat yang mana lebih tersusun dan sistematik. Mereka mendakwa permainan silat yang beliau bawa tidak asli. Padahal, hakikatnya Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawaian 2000 atau dikenali sebagai Silat Malaysia merupakan hasil kajian beliau sendiri selama 40 tahun.

              Setelah beliau secara rasmi diangkat menjadi Guru Utama PSGFM, beliau akhirnya merangkakan kurikulum baru PSGFM bagi menghadapi cabaran semasa. Kurikulum baru PSGFM tersebut dapat membuahkan pengajaran dan pembelajaran silat yang setara dan sistematik yang mana masih mengekalkan segala aspek ciri keaslian seni silat Melayu tradisi Semenanjung, bertunjangkan kepada aliran Silat Patani atau Gayung Patani.

            Secara realistik, kurikulum ini merupakan satu anjakan pembaharuan terhadap pengajaran dan pembelajaran silat yang selama ini dipraktikkan secara ‘peturun tangan’ dari guru ke guru silat. Kaedah tradisi tersebut mempunyai beberapa kekurangan dan kelemahan tersendiri, contohnya tiada maklumat pelajaran silat secara bertulis, kekangan sikap dan keperluan serta kelemahan ingatan pewaris tersebut.

            Lantaran itu, setiap kumpulan silat kian menjarak dan mewujudkan identiti sendiri. Maka terdapatlah kumpulan silat yang dikenali sebagai silat tari, silat pulut, silat bunga, silat buah, silat tempur, silat olahraga dan pergendangan silat. Silat bermotif misalnya silat harimau, silat labah-labah hijau dan lain-lain. Justeru, kurikulum silat inilah menyatukan seluruh ilmu silat di bawah paksi yang sama.

            Walaupun beliau terpaksa menghadapi cabaran kerana masih sebilangan yang tidak bersetuju kurikulum silat ini, namun, beliau tetap tekad mewujudkan silat kurikulum demi membangunkan silat yang lebih telus dan setara.

JASA


Beliau merupakan tenaga penubuhan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) dan dengan usaha beliau dalam bidang Silat Olahraga membuka era baru bagi Seni Silat dengan berkembang  pesatnya silat di Malaysia. Beliau juga berjaya menyempurnakan Kurikulum Silat Malaysia yang telah dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Perlancongan Malaysia.

Beliau juga telah membawa beberapa kejayaan kepada PSGFM antaranya seperti :

1.  Mengasaskan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) dan mendaftarkannya pada 19hb. September 1976. 
Dengan ditubuhnya PSGFM, perguruan ini dapat menyatukan pengamal silat dan para guru silat aliran Silat Melayu dari kumpulan Syeikh Abd.Rahman Tohir dan lain-lainnya yang dikenali sebagai silat pulut atau gayung pulut di bawah satu penguruan.
2. Beliau telah berjaya memertabatkan Silat Melayu atau tempatan setanding dengan perguruan pencak silat, seni beladiri dan seni mempertahankan diri yang datang dari luar.

Kejayaan ini adalah hasil dari memperbaharui dan memperelokkan kaedah pendidikan silat tradisi gelanggang bangsal kepada menggunakan kurikulum silat yang telus dan setara tetapi masih mengekalkan keaslian Silat Melayu.  
Antara kejayaan yang dicatatkan adalah:
ü  Juara keseluruhan dalam kejohanan Kejuaraan Silat Kebangsaan (1991, 1992, 1994 & 1995)
ü  Juara dalam kategori Persembahan Kumpulan di 1st International Martial Arts Games (IMGC) di Pyongyang Korea Utara (September 2004)
ü  Juara dalam kategori Persembahan Kumpulan di World Kung Fu Wusyu Championship Perugia Itali (13-15 Mei 2005)
ü  Kejuaraan IMGC ini disertai oleh 40 negara daripada 14 jenis seni mempertahankan diri terbaik di dunia. Lantaran itu, PSGFM telah berkembang di beberapa negara seperti Perancis, Austria, Switzland, German, New Celdonean, Ireland, Norway, Thailand dan lain-lain.
3. Penglibatan beliau dalam Pesaka- membawa PSGFM menjadi ahli bertaraf anggota badan pendiri Pesaka Malaysia.
Selaku Ahli Dewan Perguruan PESAKA beliau berupaya turun padang secara langsung menjalankan tugas menyalurkan kepakaran beliau dalam :
o   Kursus Jurulatih dan Wasit Juri Silat Olahraga (1984-2004)
o   Kursus Jurulatih dan Wasit Juru Silat Seni (1991-2003)
o   Menghasilkan Jurus Wajib di Persilat (1996)
o   Pengerusi Teknik kejuaraan Silat Sedunia, Kuala Lumpur (1987)
o   Pengerusi mewujudkan Muzik Silat Baku Malaysia (1991)
o   Melatih Pasukan Silat Olahraga dan Silat Seni peringkat antarabangsa
o   Pengerusi, pengasas, penyusun dan penyampai Kurikulum Silat kepada 200 Guru Silat dari pelbagai aliran perguruan di Malaysia (2002-2005).
o   Mewujudkan Manual Jurulatih Silat Olahraga tahap I dan II
o   Pengerusi Senam Silat
Selain penglibatan secara langsung dalam PESAKA, beliau  banyak menyumbang bakti sepanjang  penglibatan di peringkat antarabangsa seperti persembahan silat dalam Sukan Sea 1979 di Jakarta, persembahan silat dan bengkel silat di Perancis, melatih pasukan Thailand dalam kejuaraan Silat Sedunia dan Sukan Sea, seminar dan bengkel silat di peringkat antarabangsa dan mengembangkan silat di beberapa buah negara di peringkat antarabangsa. Antara bakti beliau yang dapat dilihat, seperti :
o   menjadi Setiausaha penaja untuk penubuhan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) 1979 di Jakarta, Indonesia.
o   Membina Jurus Wajib peringkat Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) 1996.
o   Sejak dari tahun 1986, beliau  memberi latihan kepada jurulatih silat daripada beberapa negara dunia untuk mengembangkan silat di negara masing-masing seperti Austria, Switzland, Norway, Perancis, Thailand German, Pulau New Caledonia, Sepanyol dan lain-lain.
o   Melatih pasukan negara Thailand dan Vetnam
o   Mambantu dan mengadakan seminar dan bengkel di peringkat antarabangsa seperti Perancis, Austria, Switzland, Thaliland, Itali, German dan Korea Utara.
o   Melibatkan diri dalam persembahan 11 Seni Bela Diri terbaik dunia di 15 kota German 2004.
o   Ahli Dewan Sesepuh Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat).
o   Dewan Hakim/Sesepuh Silat Seni, Beladiri dan Olahraga Persilat.
o   Menjadi Juara Persembahan Berpasukan antara 12 Seni Beladiri Terbaik Dunia dalam International Martial Arts Games Commette (IMGC) anjuran International Taekwando Federation pertama 2004 di Piongyang, Korea Utara dan Juara Persembahan Berpasukan dalam IMGC 2005 anjuran Kungfu/Wushu di Perugia, Itali.
o   Seminar/Bengkel Silat di Jakarta (PERSILAT) Disember 2008.
Disamping itu, beliau juga berbakti dalam membangunkan Silat di peringkat sekolah dengan mengadakan kursus khas pengadil Silat Seni peringkat kebangsaan dan negeri. Beliau seterusnya membuka kelas silat di sekolah rendah dan sekolah menengah di negeri-negeri di Malaysia dan melibatkan diri dalam program silat peringkat sekolah. Pelajar silat daripada bangku sekolah diberikan latihan sehingga menjadi atlet negara yang menghasilkan emas dan jurulatih peringkat negara dan antarabangsa. Pada peringkat sekolah tersebut, beliau mengasaskan dan menyusun Kurikulum Silat untuk perlaksanaan pendidikan silat di peringkat sekolah yang setara dan sistematik. Sepanjang keterlibatan di peringkat sekolah itulah, beliau pernah menjadi pengerusi Teknik Kejuaraan Silat seni Sekolah-sekolah Menengah peringkat Kebangsaan pertama Kuala Lumpur.
            

PENULISAN

            Penglibatan beliau dalam silat bukan sahaja melalui penurunan ilmu silat, pelbagai jawatan disandang, tetapi turut bergiat dalam bidang penulisan. Beliau telah berjaya menghasilkan Buku Silat Olahraga (1987) dan Teknik Dalam Silat Melayu (1992) terbitan  Dewan Bahasa Dan Pustaka. Dua buku tersebut dikeluarkan dalam dua bahasa bukan sahaja untuk edaran tempatan, malahan edaran  antarabangsa.

            Beliau turut mengarang  Kurikulum Silat, Sukatan Pelajaran, Rancangan Mengajar serta Ujian Penilaian Silat untuk Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).
            
        Tidak cukup dengan itu, beliau turut menulis dalam beberapa majalah silat antaranya termasuklah Majalah Pendekar dan Majalah Seni Beladiri.

Beliau juga berjaya menghasilkan buku bertajuk Silat, Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi kepada Pembentukan Kurikulum SilatMalaysia Moden (2008) yang merupakan karya terakhir beliau. Buku tersebut menyingkap secara menyeluruh sejarah pembentukan kurikulum silat dan pembentukan Silat Malaysia yang kini telah dijadikan kurikulum silat PSGFM dengan nama Kurikulum Silat PSGFM Piawaian 2000. Buku tersebut menjadi huraian Rancangan Mengajar Silat berdasarkan Kurikulum Seni Silat Malaysia untuk rujukan guru, jurulatih dan pelajar silat (untuk tujuan percetakan).

PENCAPAIAN


PENCAPAIAN :


Beliau secara hormatnya telah dianugerahkan Pingat Ahli Mangku Negara dengan membawa gelaran atau singkatan (A.M.N.). Manakala, Majalah Seni Beladiri terkemuka negara pernah menganugerahkan gelaran Pendita atas segala jasa dan sumbangan beliau dalam arena persilatan.
Beliau kemudian diangkat secara rasmi sebagai Guru Utama PSGFM pada tahun 1976 dengan persetujuan para Guru Tua yang mewakili kumpulan peringkat negeri. Antaranya ialah Tn. Hj. Mohamad Ali (Kedah) , Tn. Hj. Imam Mansor Ismail (Perak), En. Embung Abdullah (Selangor), dan Tn. Hj. Ramli Syeikh Abd. Rahman (anak pengasas perguruan). Kerjasama para Guru Tua menjadikan beliau mantap dalam selok belok rahsia perguruan ini dan seterusnya beliau berjaya memajukan dan meluaskan perguruan ini di peringkat Malaysia mahupun antarabangsa.

Selain daripada penganugerahan tersebut, beliau telah diberi mandat untuk memegang beberapa jawatan antaranya Naib Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) dari tahun 1986 hingga 1989 serta jawatan Pengerusi Wasit/Juri Silat Olahraga Pusaka. Disamping itu, beliau diletakkan kepercayaan menjadi Penasihat Majlis Jurulatih Silat Olahraga serta Jurulatih Silat bertaraf antarabangsa bagi Malaysia dalam Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT).

Beliau yang berpengalaman luas dalam perkembangan dunia persilatan Melayu melayakkan beliau menjadi pengasas Silat Olahraga, Silat Seni, Silat Melayu dan Gendang Silat Baku di Malaysia. Penglibatan beliau dalam Pesaka kian menyerlah dengan menjadi :
Ø  Ahli Dewan Perguruan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka)
Ø  Ahli Dewan Perguruan Pesaka Negeri Selangor Darul Ehsan
Ø  Mengasaskan Silat Olahraga dengan memberi kursus Jurulatih dan Wasit Juri Silat Olahraga kebangsaan dan negeri sejak 1984 hingga 2004.
Ø  Mengasaskan Silat Seni dengan memberi kursus Jurulatih dan Wasit Juri Silat Seni peringkat kebangsaan dan negeri sejak 1995.
Ø  Pengerusi Teknik Silat Olehraga Sukan Sea 14 Kuala Lumpur.
Ø  Pengerusi Teknik Kejuaraan Silat Sedunia Kuala Lumpur 1987.
Ø  Mengasas, menyusun dan menyampai Kurikulum Seni Silat Malaysia sejak (4.4.2002 -2005) sama ada di peringkat kebangsaan, negeri dan pertubuhan.
Ø  Terlibat dalam Kursus Jurulatih dan Hakim Silat Seni Sekolah-sekolah Malaysia di Makhtab Teknik Kuala Lumpur.
Ø  Merancang dan melaksanakan Kursus Musik Silat Baku Malaysia. Turut menjadi Hakim Pergendangan Silat (Muzik Silat  Baku Malaysia) di Kedah pada tahun 2002-2004.

PERGURUAN


         Beliau telah mempelajari beberapa aliran perguruan silat sejak tahun 1957 lagi. Antara aliran perguruan silat tersebut termasuklah Silat Harimau, Silat Cekak, Silat Sendeng, Silat Kuntau Betawi dan Seni Silat Melayu Helang Sewah atau Silat Pulut yang beliau pelajari di Kg. Kota Hutan Melintang, Perak daripada ahli keluarga, kecuali Kuntau Cemande bukan daripada keluarga.
Diperkhabarkan, pada tahun 1965, Pak Andak Embong, Guru Tua negeri Selangor (yang diturunkan ilmu daripada Haji Imam Mansur) menurunkan ilmu Seni Silat Gayung Fatani kepada Tuan Haji Anuar Bin Abd Wahab di Sabak Bernam, Selangor. Tuan Haji Anuar Bin Abd Wahab kemudiannya melengkapkan pelajaran silat dengan Tuan Haji Ramli Bin Abdul Rahman. Berbekalkan ilmu persilatan yang mantap, Tuan Guru Haji Anuar seterusnya menjadi Pengasas dan Guru Utama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia.
       Tuan Guru Haji sepanjang penglibatan arena silat, beliau telah melahirkan guru-guru kanan yang hebat antara yang dapat dicatatkan di sini seperti Tuan Haji Ismail Saad (Pulau Pinang) , Roslan Salam (Selangor) , Zaihan Mohd Isa, Haji Khairuddin (Kelantan) , Azi Wahija Yop (Antarabangsa) , Wan Jaafar Wan Zainal (Terengganu) , Abdul Rahman Ismail, Masliza (Guru Wanita) , Haji Khalid dan Rosman (Melaka) , Roslan Aziz (Perak) , Bambang (Negeri Sembilan) , Zakaria (Thailand) , Halim Hamit (Kuala Lumpur) dan lain-lain yang menjadi guru peringkat negeri seperti Mazlan (Kedah) ,  Halim (Perlis) , Mohd Arif (Melaka) dan Mazlan (Johor) . Tidak sekadar jurulatih di peringkat negara, beliau juga turut melahirkan jurulatih silat di peringkat antarabangsa.

BIODATA RINGKAS




Nama              :   Tuan Haji Anuar bin Haji Abd. Wahab
Tarikh Lahir   :   23 Disember 1945    
Tempat Lahir :   Bagan Tunjang, Sabak Bernam, Selangor
Pendidikan     :   Peringkat Rendah - Sekolah Melayu Sabak Bernam
                            Peringkat Menengah – Sekolah Menengah Kebangsaan Sabak Bernam dan Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur.
                            Peringkat Tinggi -  B.A. Kepujian Ilmu Kemanusiaan  Pengkhususan
                            Kesusasteraan Melayu, Diploma Pengajian Islam UKM, Sarjana M.A. UKM di bidang Persuratan. 

PENGHARGAAN





Bismillahirrahmanirrahim..

            Alhamdullilah dan segala syukur ke hadrat Ilahi dengan limpahan rahmat nikmat masa, nyawa, tenaga dan juga buah fikiran yang dianugerahkan Yang Maha Esa dapat juga saya menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.
         
            Pertama dan utamanya, saya ingin ekspresikan ucapan penghargaan ini kepada dua  guru silat saya, Dr. Nizam dan Cg. Rashid kerana dengan tunjuk ajar serta bimbingan termasuklah nasihat daripada mereka memudahkan jalan untuk saya menyiapkan tugasan ini dengan suksesnya.
         
        Saya juga ingin menyelitkan ucapan terima kasih yang tidak ternilai khas kepada ibu bapa yang memberi saya pemudahcara untuk menyiapkan folio ini. Sokongan, idea bernas juga nasihat mereka cukup membantu saya dalam penyiapan folio ini. 
           
             Tidak lupa juga, apresiasi ini ditujukan juga kepada blogger “Kelab Cikgu Halim” kerana membantu saya dalam mendapatkan input-input berguna mengenai tokoh tersebut.
           
           Dan, seterusnya ucapan penghargaan ini saya tujukan kepada rakan-rakan yang banyak memberi peringatan terhadap setiap apa yang saya telah terleka. Buah fikiran yang diutarakan menjadi inspirasi penghasilan folio ini, dan sekali lagi saya ucapkan terima kasih.
            
           Akhir pena, saya mengucapkan terima kasih tulus ikhlas kepada mana-mana pihak sama ada yang terlibat secara langsung atau sebaliknya dalam pembikinan folio ini. Terima kasih.


Link to : pusatcemerlangsilat.com